Begitu lama blog ini sepi tanpa post terbaru. Sangatlah tiada mood untuk update apa-apa.... Walaupun banyak sebenarnya hendak diceritakan.
Puteri kesayanganku sudah mencecah 83 hari, hari ini... Cepat sungguh masa berlalu. Keletahnya makin menghiburkan, sudah pandai tersenyum, mengagah dan bersembang..... Setiap saat bersamanya tidak menjemukan, mungkin kerana dia yang pertama. Pengubat kekecewaan kami berdua selepas kehilangan kandungan pertama kami dahulu....
Alhamdulillah, dari usia Raniah Zawanah 2 hari, aku berjaya menyusukan anakku hingga ke hari ini.... Terima kasih pada bonda Farah Farhan yang sanggup datang dari Shah Alam ke Wangsa Maju dan mengajarku bagaimana untuk menyusukan puteriku demi memastikan puteriku mendapat kolostrum pertamanya. Ya, aku tidak dapat berjumpa dengannya selepas sejurus selepas dilahirkan hinggalah keesokkan harinya kerana Raniah Zawanah dikategorikan sebagai bayi yang kecil dan pramatang, kerana dilahirkan pada usia kandungan mencecah 36 minggu, makanya dia perlu dimasukkan ke dalam wad pemerhatian. Alhamdulillah, dia seorang bayi yang sihat dan kuat... Tiada tanda-tanda dia mengalami masalah kesihatan yang serius kecuali jaundis....
Hingga hari ini, aku menyusukan anakku secara 'direct feed'. Kalau hendak diberi melalui botol, aku tidak boleh memberikan kepadanya. Pasti ditolaknya. Terpaksalah abahnya atau orang lain memberikan kepadanya... Namun, benar kata kawan-kawan....Menyusukan anak ini merupakan satu pengalaman yang menarik dan indah, juga menduga kesabaran. Betapa bahagianya bila melihat Raniah Zawanah yang sedang mengamuk, tidak berjaya dipujuk oleh abahnya, atau opahnya terus diam apabila mamanya ini mendukungnya. Bonding yang kuat, dan mendamaikan. Cuma kadang-kadang kesabaranku hilang pabila puteriku mula meragam. Nak menyusu sepanjang hari, atau tidak mahu tidor dan nak berperap seharian denganku, gara-gara pecutan pembesaran a.k.a Growth Spurt. Hingga ke hari ini, sudah dua kali Raniah mengalami Growth Spurt, yang mana bila tahap kesabaranku sampai ke kemuncaknya, mama sekali ikut menangis.
Bukan sekali dua aku hampir putus asa dalam penyusuan susu ibu ini, tapi ku kuatkan semula semangatku demi niat yang telah ditancapkan dalam hati. Terasa betapa berdosanya aku kiranya aku patah semangat sekarang. Bukan tiada halangan yang kuhadapi, ada. Aku tidak dapat menyediakan stok yang banyak untuk puteriku ini gara-gara pump yang kubeli tidak serasi denganku. Pam mengikut apa yang disarankan oleh pakar-pakar laktasi, tapi air susuku sangat sedikit. Membuat power pumping pun, masih lagi tidak berubah. Sangka air susu berkurangan, rupa-rupanya pam yang bemasalah. Terpaksa pula mencari pam lain, dan sekarang ini barulah stok makin bertambah. Kadang-kadang kita sering sangkakan susu berkurangan, tetapi sebenarnya rezeki untuk anak itu sentiasa ada, hanya kita yang tidak sedar hingga kadang-kadang mencipta berbagai alasan demi menyedapkan atau memujuk hati sendiri.
Sekarang, setelah Raniah Zawanah dihantar ke rumah sepupuku untuk membiasakan dia dengan penjaganya, baru aku sedar kenapa sebelum ini anakku kerap menyusu seperti anak lelaki, sejam atau dua jam sekali. Memang benar susu ibu itu mudah dihadamkan, hingga dia cepat terasa lapar. Rupa-rupanya setelah dibuat pemerhatian, anakku apabila kususukan secara direct feed, dia lebih suka termenung/main semasa menghisap sehinggalah dia tertidur... Ini menyebabkan dia cepat lapar kerana dia minum sangat sedikit berbanding diperlukan. Sekiranya puteriku minum melalui botol, di rumah pengasuh, masa tidurnya menjadi lebih lama, dan dia lebih puas kerana dia akan menghabiskan ketiga-tiga oz tersebut. Pendek kata sampai botol kosong la. Nasibla jugak ku tak ikut secara bulat-bulat nasihat bahawa anakku tak cukup susu, perlu susu tambahan.... Dan ku juga bernasib baik kerana pengasuh Raniah sendiri menggalakkan penyusuan eklusif.
Minggu depan, ku akan mula bekerja semula. Tekanan kerja pasti akan mengganggu rutinku bersama Raniah.... Aku sentiasa berdoa agar ditetapkan hati, dikuatkan semangat agar dapat meneruskan penyusuan ini.. Aku sangat berharap agar aku mampu bertahan sekurang-kurangnya hingga Raniah berusia 1 tahun.Dan juga diberi kesabaran yang tinggi apabila Raniah Zawanah kesayanganku ini membuat ragam.... Memang, ada terlintas di dalam fikiran ingin memberi susu formula bila dia membuat karenah, tapi ku tabahkan hati.Syukurlah suami sentiasa memberi sokongan dan galakan dalam memastikan puterinya mendapat makanan yang terbaik untuk pembesarannya. Benar, aku kurang yakin dengan kemampuan diri sendiri.
Terima kasih kepada kawan-kawanku : Bonda Farah Farhan, Memi Ila MyKhalish, Mama Kharziana, Mama Saliza Wati dan juga rakan-rakan yang sentiasa membimbing tentang PSI ini dari awal kandungan hinggalah kehari ini. Kalianlah penguat semangatku selama ini..... Moga kita akan terus saling menyokong antara satu sama lain.
Saya masih mentah dalam penyusuan susu ibu, dan masih belajar tentang parenting. Tapi, ini pengalaman saya hingga hari ini dan sekadar berkongsi perasaan dengan kawan-kawan semua. Sesungguhnya saya mencemburui puteri saya sendiri kerana dia bertuah dapat merasa susu ibu sedangkan saya terpaksa menumpang ibu saudara kerana ibu saya mempunyai masalah kesihatan yang menghalangnya dari menyusukan saya.